Majlis Perhimpunan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi kali ke-105 dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Pertahanan diadakan malam tadi dengan tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Majlis Munajat kali ini adalah secara fizikal dengan kehadiran Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; serta Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir, Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Hadir sama, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta para pegawai kanan dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan.
Penyertaan daripada Ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah daripada 86 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara juga menyemarakkan lagi Majlis Perhimpunan Malam Munajat.
Di samping menghadiri secara fizikal, orang ramai juga mengikuti secara maya dengan melayari pautan 'http://tiny.cc/munajatkheu' atau Pusat Da'wah Islamiah (PDI).
Majlis Perhimpunan Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II.
Diikuti dengan Doa Kanz Al-'Arsy dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.
Seterusnya bacaan Doa Munajat oleh Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan, JPM, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof.
Majlis Perhimpunan Malam Munajat turut diserikan lagi dengan Tazkirah mengenai 'Doa Kanz Al-'Arsy' yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah PDI, KHEU, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.
Antara inti pati Tazkirah tersebut menghuraikan makna Kanz Al-'Arsy sebagai dua patah perkataan iaitu 'kanzun' dan 'Al-'Arsy'.
Kanz bermakna Harta Simpanan atau Perbendaharaan. Manakala 'Al-'Arsy' atau 'Arasy bermakna Takhta atau Singgahsana.
Apabila digabungkan dua patah perkataan tersebut jelas beliau, bermaksud Perbendaharaan Takhta atau Perbendaharaan Singgahsana atau Harta Takhta atau Harta Singgahsana.
Dari sahabat Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda “Sesungguhnya di dalam syurga itu ada 100 darjat yang Allah Subhanahu Wata'ala janjikannya kepada para pejuang pada jalan Allah. Setiap satu darjat itu jaraknya seluas antara langit dan bumi.
“Maka apabila kamu meminta syurga dari Allah Subhanahu Wata'ala mintalah syurga Firdaus maka sungguhnya syurga Firdaus itu ialah syurga yang paling afdal (utama) dan syurga yang paling tinggi. Di atasnya terdapat 'Arasy Allah dan daripadanya terbit air segala sungai-sungai syurga".
Dalam sama-sama mendapat rahmat dan keberkatan bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Dikir Asyraqal Badru 'Alaina dilaungkan oleh para pegawai dan tenaga pengajar Jabatan Pengajian Islam, KHEU.
Bagi memberkati Majlis Perhimpunan Malam Munajat, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA'AT), Kementerian Pertahanan, Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.
Sumber berita Pelita Brunei